Thursday 15 December 2011

Jika Ingin Berubah!!!

Kawanku...
Terima Kasih kerana sudi membacanya. Bagi seterusnya...kamu hanya perlu pinjamkan mata dan hati menatap tulisan ini. Duduk dengan tenteram dan pandang dengan tenang. Tidak perlu berlari ke padang ataupun meredah hutan. Mudah, bukan?


Kamu mampu berubah! Semua orang mampu berubah menjadi lebih baik. Percayalah! Tidak tumbuh, tidak akan melata, tidak sungguh, orang tidak berkata. Jadi, apa yang saya kata itu benar.


Kita sekarang hidup dalam dunia akhir zaman, kadar jenayah meningkat. Kes-kes samun, rompak, rogol dan sebagainya bertambah. Indeks jenayah tidak makin susut, malah bertambah dari sehari ke sehari. Oleh itu, kita perlu menjaga diri supaya tidak menjadi sebahagian daripada pelaku anti-sosial. Kita perlu sentiasa berubah menjadi semakin bagus.


Apakah azam kamu pada tahun ini? Azam baru memang penting. Hasrat dan keinginan yang dipupuk dan disemai dengan baik mampu menjadi pendorong bagi mencapai cita-cita. Malah ramai orang yang mahu berubah menjadi baik tidak meneruskan niatnya disebabkan rasa tidak yakin.


Perlu diingat, setiap azam perlu disokong dengan perancangan dan tindakan ke arah mencapai matlamatnya. Setiap azam hanya sia-sia tanpa ikhtiar dan usaha. Setiap cita-cita akan tersadai sepi apabila tiada perancangan dan perjuangan bagi menggapainya.


Jangan tidur siang, bangun! Bangun! Berhenti bermimpi dan bermain ilusi!


Ramai orang hanya menyimpan hasrat dalam jiwa tanpa melangkah ke arahnya. Ramai orang mematikan hasrat di hati kerana merasakan tidak berdaya menggapainya. Paling malang, ada orang  beranggapan dia tidak akan dapat mencapai azam dan cita-citanya.


Dia beranggapan semua azam itu ibarat angan-angan dan mimpi siang. Sekadar teman di kala tidur dan rekreasi minda pada waktu dia kesepian. Ini kerana dia meletakkan sempadan kemampuan dirinya mengikut kadar-kadar tertentu. Jangan begitu! Pecahkan batasan dalam diri sendiri.


Kawanku...
Sebelum kita bergerak dan berikhtiar, kita perlu membuang batasan yang ada dalam fikiran kita. Semua orang pasti akan membataskan kemampuan diri. Benar, pepatah melayu ada menyebut "Ukurlah baju pada badan sendiri" supaya kita tidak bercakap besar. Ada juga pepatah menyebut "Tilik dahulu muka sendiri di cermin" bagi mengelakkan kita perasan diri sendiri terlalu sempurna. Orang yang sedar batasan diri sendiri barulah tidak akan dianggap "Hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong".


Kita perlu membuang 'batas' yang wujud dalam minda kita. 'Batas' ini adalah halangan pertama yang akan menyekat kita daripada berusaha. Ramai orang apabila ditanya, mengapa tidak mahu belajar? Mereka menjawab, sekiranya belajar pun, dia tetap tidak pandai. Begitu juga remaja yang bermasalah, apabila ditanya mengapa mereka tidak mahu berubah dan mereka menjawab, mereka sudah ditakdirkan menjadi jahat. Semua ini adalah disebabkan minda mereka sudah meletakkan 'batas' pada diri sendiri. Mereka mengatakan sampai bila-bila pun mereka tidak akan berubah menjadi lebih baik.


Kawanku...
Sekiranya benar kamu berubah menjadi lebih baik kamu hanya perlu bertanya pada diri sendiri, "Apakah yang perlu aku lakukan sekarang?" Ya, sekarang. Bukan esok ataupun lusa. Kamu perlu tahu apakah langkah pertama dan seterusnya bagi membuat perubahan mulai sekarang. Kamu perlu tahu apakah yang baik dan buruk.


Jangan berhenti biarpun kamu gagal beberapa kali. Jangan putus asa biarpun kamu jatuh berkali-kali. Kerana suatu masa, akan sampai ketikanya kejayaan muncul tanpa sempat kamu menduga.


-Rasima-

Novel " Cinta Kembali Bertasbih"
Karya A. Ubaidillah Alias

mood: tgh baca novel tersebut...rasa macam nk kongsikan...sbb tu sy taip balik...:)


~> mudah2an ianya bermanfaat...insya ALLAH...

1 comment: