Saturday 14 July 2012

Kerana Aku Malu!



Samihah mengurung diri di bilik pejabat. Dia baru selesai bercakap dengan suami. Matanya menatap skrin komputer yang menyala. Hatinya berperang dengan minda, rasa marah dan berang berombak di dada. Dia cuba memahami kenapa suaminya berperangai begitu. Rupa kacak, kerja berpangkat, tetapi apabila minta menemaninya ke butik dan saloon, jawapannya tetap sama, “Saya malu”.

Samihah panas hati, dia menulis SMS untuk suaminya “Nak minta teman ke tempat itupun masih malu? Awak ini lelaki atau perempuan?” dan menekan butang hantar.

Dahulu, sebelum dia mengahwini Ibrahim. Dia sering ke Saloon Moona untuk berdandan dan singgah ke Butik Jasmin memilih baju setiap kali masuk gaji. Namun selepas berkahwin, dia memakai tudung demi memenuhi syarat Ibrahim. Samihah menerima syarat itu sebagai penghijrahan kepada kebaikan. Semenjak hari itu dia tidak berpeluang ke Saloon Moona dan Butik Jasmin. Ibrahim tidak bersedia menemaninya ke situ. Alasannya sama, “Dia malu!”

“Aku bukan berdandan untuk dedah pada orang lainpun. Sekadar puaskan hati saja. Lama benar sudah memendam untuk buat rambut kat situ. Aduh!” Hati Samihah mengomel. Mukanya masam seperti buah mempelam muda. Dia menekan kekunci komputer dan mencari sesuatu di internet untuk mengubat penyakit malu suaminya. Dia menemukan beberapa fakta:

Doktor psikologi di Universiti California (UC) iaitu Barkeley Robb Willer berkata, “Penelitian yang baru dilaksanakan oleh UC menyatakan malu merupakan satu tanda emosional yang menunjukkan seseorang itu boleh dipercayai. Seorang pemalu patut dipertimbangkan sebagai rakan kongsi terbaik di bidang perniagaan atau organisasi. Orang jenis ini juga ternyata lebih setia. Kajian menunjukkan bahawa seorang pemalu mempunyai tingkat monogaminya (setia dengan satu pasangan) lebih tinggi dibanding pemberani.”

“Kalau malu itu baik, tidaklah aku makan hati sebegini,” gerutu hati Samihah. Kring! Telefon bimbit berbunyi. Nombor pemanggil dirahsiakan. Entah siapa pula yang menelefonnya. Samihah menyambung talian. Seorang perempuan lain berbicara di hujung gagang. Suaranya sebak dan seakan-akan baru usai menangis.

“Puan beruntung dapat suami seperti Ibrahim. Sudah puas saya pujuk dia kahwin dengan saya. Dia menolak. Saya janda anak dua, saya ada banyak harta. Saya cuma perlukan seorang lelaki sebaik dia. Sebelum ini saya telah berkahwin dengan lelaki bangsat, dia sering pukul dan tidak menghormati saya. Saya bercerai dengannya, saya temui Ibrahim. Saya cuba meyakinkan dia bahawa saya Cuma mahukan dia. Bukan hartanya. Dia menolak dengan alasan…dia malu.”

Samihah tergamam mendengar kenyataan wanita itu. Dia kelu, buntu dan bisu. Rasa bersalah menyerbu jiwanya. Terasa amat besar dosanya kepada suami kerana berkata buruk padanya.

Belum sempat Samihah mencelah, perempuan itu menyambung kalam, “Katanya, dia malu jika ALLAH melihatnya gagal mentadbir keluarga disebabkan berkahwin lagi. Dia malu, jika isterinya berbuat dosa disebabkan gagalnya dia mendidik. Dia malu jika anak-anaknya menjadi liar disebabkan dia sibuk dengan dunia. Kerana terlalu malu dan bimbang berhadapan dengan ALLAH di padang mahsyar, maka dia menolak lamaran saya dengan baik. Puan Samihah, awak perempuan bertuah. Jagalah suami puan baik-baik.”

Klik! Talian terputus.

Samihah terbata, emosinya merumuskan sesuatu di lubuk jiwa. Akalnya bercempera untuk memadamkan konflik yang telah berkucah di dadanya. Tiba-tiba dia menerima satu SMS. Matanya membulat, SMS dari suaminya:

“Abang enggan ke butik Moona kerana sebahagian tukang guntingnya lelaki. Abang malu jika lelaki lain melihat rambut isteri abang. Butik Jasmin pula banyak menjual baju yang kainnya nipis dan jarang. Abang takut isteri abang terbeli baju sebegitu. Abang malu jika ALLAH memarahi abang di akhirat kelak kerana tidak cuba menjaga isteri abang dari mendekati tempat sebegitu. Maafkan abang.”

Samihah terdiam. Dia tahu sangkaannya sudah silap terhadap suami. Terbukti Ibrahim mencintainya dengan ikhlas. Samihah segera mendail nombor suami. Dia mahu meminta kemaafan kerana mempertikaikan perasaan malu suaminya yang tulus. “Maafkan aku wahai suamiku!” Hati Samihah menangis.


-GenQ Isu 06-







1 comment:

  1. Assalamualaikum :)

    Maaf mengganggu . Nak minta tolong sikit boleh ?

    Minta tolong LIKE page n gambar nih . Kalo sudi share & promot skali la naa . Mohon kerjasama awak & rakan blogger sekalian. 1 LIKE mampu membuat ibu & anaknya tersenyum bahagia. Terima kasih ,Jasa anda amat dihargai :)

    1. LIKE this page , https://www.facebook.com/Mumnbabycom


    2. LIKE this photo , https://www.facebook.com/photo.php?fbid=344849685583802&set=a.332350763500361.70545.111646315570808&type=1&theater&notif_t=photo_comment_tagged


    TARIKH TUTUP : 31 JULAI 2012

    ReplyDelete