Dia melihat reaksi anak-anak muda
yang lalu lalang berdekatan dengannya. Masing-masing mempamerkan wajah ceria
dan gembira. Lakaran hidup mereka seolah-olah terpamer lukisan kegirangan tanpa
duka lara. Bebas riang mengisi sisa kehidupan tanpa terpalit raut gusar di
wajah. Bersama rakan-rakan seusia, mereka meredah hiruk-pikuk kehidupan yang
dipenuhi ujian dan dugaan.
Hatinya tertanya-tanya, benarkah apa
yang terpamer di wajah mereka turut menggambarkan keadaan isi hati mereka? Atau
sebenarnya hati mereka sedang merintih mencari erti bahagia yang sebenar.
Namun, hati yang bersedih sering mempamerkan wajah sugul dan gundah. Tubuh
mereka yang dibaluti kesedihan akan longlai dan layu serta tidak bermaya. Jauh
sekali hendak bergaul mesra dan menguntum senyuman. Tetapi kenapa mereka masih
boleh melirik senyum dan tertawa andai hati mereka dirundung resah?
Sebenarnya hati mereka ingin merasai
manisnya kebahagiaan. Kebahagiaan yang hadir dan meresap ke dalam sanubari.
Kebahagiaan yang dapat mencetuskan ketenangan dan keindahan bertuhan. Bukan
kebahagiaan yang terasa di luar namun di dalam bersarang duka. Bukan itu yang
mereka cari. Lumrahnya hidup insan kini hanya bertopengkan bahagia. Topeng
bahagia yang disarungkan ke muka menutup seluruh memek muka yang berduka. Hanya
hati sahaja yang mengerti resahnya hidup mereka. Ya ALLAH, bantulah hidup
mereka untuk mencari kasihMU yang tidak bertepi.
Nikmat kesenangan yang mereka kecapi turut tidak dapat
memadam resah dan laranya jiwa. Mereka sebenarnya telah memiliki segalanya.
Segalanya yang insan lain inginkan agar hidup lebih sempurna dan bahagia. Itu
adalah erti bahagia pada pandangan mata pincang manusia.
Sedarlah, bahagia yang dicari hadirnya dari lubuk
hati. Pencetus rasa bahagia bermula dari kenali ALLAH, kasihkan ALLAH, ingatkan
ALLAH dan rindukan ALLAH.
Alhamdulillah..perkongsian yang cukup bermanfaat..teruskan perjuanganmu dalam mencari redha Allah..andai ada kelapangan waktu, jemput singgah ke blog sy..siapa tau mungkin kita dpt berkongsi ilmu di situ...salam ukhwah fillah abadan abada..
ReplyDelete